Rabu, 8 Jun 2011

Detik penting dalam perkembangan bayi: Berjalan

Berjalan
Belajar berjalan adalah langkah yang besar ke arah berdikari, ianya salah satu perkembangan yang paling penting dalam hidup anak anda. Apabila dia beralih dari berdiri tersandar pada perabot ke berjalan terhuyung-hayang menuju tangan terbuka anda sehingga ke berlari, dan melompat dengan penuh keyakinan, dia sudah meninggalkan zaman bayinya.
Bila ia berkembang
Pada tahun pertamanya, bayi anda akan beransur-ansur mendapat koordinasi dan kekuatan otot seluruh badannya, serta belajar duduk, meniarap, dan merangkak sebelum boleh menarik dirinya naik dan berdiri pada sekitar usia lapan bulan.

Dari situ, dia hanya memerlukan keyakinan dan keseimbangan – kebanyakan bayi membuat langkah pertama mereka di antara
usia sembilan dan 12 bulan, dan pandai berjalan bila mereka berusia 14 atau 15 bulan.

Jangan risau jika anak anda mengambil masa yang lebih lama, kerana ramai kanak-kanak yang normal juga tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan.
Bagaimana ia berkembang
Dalam beberapa bulan yang pertama, apabila anda mengangkat bayi anda dengan memegang bawah ketiaknya, dia akan menendang mana-mana permukaan yang disentuh kakinya, hampir kelihatan seperti berjalan. Tetapi ini cuma tindakan refleks – kakinya tidak cukup kuat untuk menampung berat badannya – dan tindakan refleks ini akan hilang selepas dua bulan.

Apabila bayi anda
berusia lima bulan, jika anda memegangnya dengan kakinya tersentuh paha anda, dia akan terenjut-enjut turun naik. Mengenjut-enjut akan menjadi aktiviti kegemarannya untuk beberapa bulan yang akan datang, malah, sewaktu otot kaki bayi anda terus berkembang apabila dia belajar meniarap, duduk dan merangkak.

Pada sekitar
usia lapan bulan, bayi anda akan menarik dirinya naik berdiri sambil berpegang pada perabot. Jika anda sandarkannya bersebelahan sofa, dia akan berpaut pada sofa sekuat-kuat hatinya. Selepas beberapa minggu apabila dia sudah biasa dengan kemahiran ini, dia akan mula bergerak ke sana-sini secara tegak dengan berpegang pada perabot – dan mungkin juga boleh melepaskan tangan dan berdiri tanpa sokongan. Sebaik sahaja dia sudah boleh berdiri, dia akan cuba mengambil langkah untuk berjalan ketika dipegang dan dia mungkin akan cuba mengutip mainannya dari posisi berdiri.

Pada
usia sembilan atau 10 bulan, bayi anda akan mula belajar membengkokkan lututnya dan bagaimana caranya untuk duduk selepas berdiri (sebenarnya lebih sukar daripada yang anda sangka!).

Pada usia
11 bulan, bayi anda mungkin sudah mahir berdiri berseorangan, membongkok dan mencangkung. Dia mungkin akan berjalan sambil memegang tangan anda, namun dia tidak akan berjalan seorang diri buat beberapa minggu lagi. Kebanyakan kanak-kanak membuat langkah awal mereka berjengket-jengket dengan kaki mereka terhala ke luar.

Pada usia 13 bulan, tiga perempat daripada semua kanak-kanak sudah boleh berjalan sendiri – walaupun terhuyung-hayang. Jika anak anda masih berjalan berpaut pada perabot, ianya hanya bereti ia akan mengambil sedikit masa lagi sebelum dia berjalan sendiri. Sesetengah kanak-kanak tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan, atau lebih lambat lagi.
Apa perkembangan seterusnya
Selepas langkah pertama ke arah berdikari, kanak-kanak akan mula menguasai tujuan lebih mendalam erti mobiliti:

• Pada usia 14 bulan, anak anda patut berupaya berdiri bersendirian, boleh membongkok ke bawah dan berdiri tegak semula, dan mungkin sudah mula belajar berjalan berundur.

• Biasanya kanak-kanak pada usia 15 bulan sudah pandai berjalan dan suka menolak dan menarik mainan ketika berjalan.

• Pada usia sekitar 16 bulan, anak anda akan mula berminat menaiki dan menuruni tangga – namun dia tidak dapat menguasai kemahiran ini untuk beberapa bulan lagi.

• Kebanyakan kanak-kanak 18 bulan sudah mahir berjalan. Ramai boleh naik tangga dengan sedikit bantuan (tetapi mereka memerlukan pertolongan untuk turun tangga selama beberapa bulan lagi) dan gemar memanjat perabot. Anak anda mungkin akan cuba menendang bola, tetapi tidak akan selalu berjaya, dan mungkin dia juga suka menari jika anda pasang muzik.

• Pada usia 25 atau 26 bulan, langkah anak anda akan menjadi lebih sekata dan dia akan dapat berjalan menggunakan pergerakan lancar golekan tapak kaki dari tumit ke jari kaki yang digunakan orang dewasa. Pada usia ini juga dia akan lebih mahir melompat.

• Apabila harijadi anak anda yang ketiga sampai, kebanyakan pergerakan asasnya sudah menjadi kebiasaan. Dia tidak lagi perlu memfokuskan tenaganya pada berjalan, berdiri, berlari atau melompat, tetapi sesetengah aksi, seperti berjengket atau berdiri atas sebelah kaki, mungkin masih memerlukan konsentrasi dan usaha.
Peranan anda
Semasa bayi anda belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara kembali duduk. Jika dia tersangkut dan memanggil anda, jangan hanya mengangkatnya dan letakkannya terduduk sahaja. Sebaliknya, tunjukkan cara bagaimana membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh, dan biarkan dia mencubanya sendiri.

Anda boleh menggalakkan bayi anda berjalan dengan berdiri atau melutut di depannya dan menghulurkan tangan anda, dengan memegang kedua-dua tangannya dan menjalankannya ke arah anda, atau dengan membeli sebuah mainan yang dia boleh pegang dan tolak supaya berjalan (dapatkan mainan yang stabil dan bertapak sokongan luas).

Oleh kerana
walker bayi terlalu mudah digerakkan, ianya akan menghalang otot paha anak anda berkembang dengan betul, jadi sesetengah pakar tidak menggalakkan penggunaannya.

Anda juga boleh tangguhkan memakai
kasut sehingga bayi anda sudah selalu berjalan di luar rumah atau atas permukaan yang kasar dan sejuk; berkaki ayam menolong memperbaiki keseimbangan dan koordinasinya.

Seperti selalu, pastikan bayi anda ada persekitaran yang lembut dan selamat untuk memupuk kemahiran barunya. Ikuti garis panduan biasa
menjadikan rumah selamat untuk kanak-kanak dan jangan biarkan bayi anda tanpa pengawasan, sekiranya dia terjatuh atau memerlukan pertolongan anda.


 ** chaiyok sayang mama.... mama sentiasa sokong sayang untuk berjalan....

2 ulasan:

Ummu Ukasyah berkata...

terima kasih atas info ni. tak sabar nak tengok ukasyah berjalan.

mama irfan berkata...

sama la kita, x sabar nak tengok irfan berjalan... kita sebagai ibu galakkan anak untuk belajar bejalan...chaiyok to irfan n ukasyah....

Anugerah Illahi

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Hadiah Illahi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers